Seperti pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini, khususnya semasa penamaan calon, pagi ini juga tidak terlepas dengan perang mulut antara penyokong Pakatan Harapan (HARAPAN) dan BN.
Lebih memanaskan keadaan, PRK Sungai Kandis adalah PRK pertama di mana dua gabungan politik itu bertukar kedudukan di mana HARAPAN selaku pemerintah dan BN pula pembangkang.
Penyokong HARAPAN yang mula berhimpun di perkarangan Dewan Besar Tanjung, Seksyen 19 Shah Alam, seawal jam lapan pagi melaungkan kata-kata seperti ‘perompak’, ‘pencuri’ dan ‘penyangak terhadap penyokong BN.
Ia dipercayai merujuk kepada sejumlah dakwaan salah laku pentadbiran terdahulu terutama skandal 1MDB melibatkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang menjadi perhatian selepas HARAPAN mengambil alih kuasa.
Namun agak menarik apabila segelintir penyokong HARAPAN turut membangkitkan ketiadaan bekas ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin hari ini. Beliau dilihat semakin bertentangan dengan kepimpinan parti itu pada masa ini.
Sementara itu, penyokong BN membalas serangan itu dengan melaungkan ‘HARAPAN tipu rakyat’ dan ‘kencing’, merujuk kepada beberapa janji manifesto gabungan tersebut yang belum dilaksanakan pada masa ini.
Antaranya soal penurunan harga minyak sebaik HARAPAN menjadi kerajaan. Untuk rekod, manifesto HARAPAN tidak menyebut secara khusus untuk ‘menurunkan harga minyak’ sebaliknya untuk menstabilkannya dan memberikan subsidi bersasar.
Selain perang mulut itu, keadaan semakin tegang apabila penyokong BN bergerak ke arah dewan dan melanggar jarak 50 meter yang disyaratkan kepada penyokong.
Sejumlah anggota polis bergerak bagi menghalang mereka. Mereka kemudian memasang penghadang bagi menghalang mereka.
PRK Sungai Kandis bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Zawawi Mughni (PKR), Datuk Lokman Noor Adam (BN) dan K. Murthy (Bebas).
Ia diadakan setelah penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.
Pada PRU ke-14 lalu, Mat Shuhaimi menang kerusi itu dengan majoriti 12,480 undi, mengalahkan Datuk Kamaruzzaman Johari (BN), Mohd Yusof Abdullah (PAS) dan Hanafiah Husin (PRM).
-malaysiakini
NEXT PAGE:
Perang Mulut Antara Penyokong HARAPAN Dan BN di Penamaan Calon
4/
5
Oleh
afgan19